Wednesday, December 9, 2009

Agama Saya

Bismillahirahmanirrahim

( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani )

Kita semua tahu Islam itu datang ke rantau sebelah sini. Ia datang melalui laut, dibawa oleh pedagang-pedagang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu Melaka mempunyai sebuah pelabuhan yang menjadi tumpuan segala jenis peniaga dan pedagang. Melaka merupakan sebuah negara yang besar jajahan takluknya, aman dan makmur.

Negeri Melaka diasaskan oleh Putera Parameswara dari Palembang, yang lari meninggalkan negaranya akibat peperangan ke Temasik. Dia kemudian beserta pengikut-pengikutnya menyusuri pantai barat Semenanjung dan akhirnya mendarat dan membuka Melaka pada 1402. Parameswara dan pengikut-pengikutnya bukan beragama Islam.

Sejak mula diasaskan, memang Melaka mempunyai ciri-ciri yang akan memajukannya sebagai sebuah pelabuhan . Dan kerana kebijaksanaan sultan-sultan yang memerintah, Melaka kemudiannya menjadi sebuah negara pelabuhan yang tersohor, tumpuan pelbagai bangsa dari berbagai-bagai negara.

Sistem kerajaan negeri Melaka pada masa itu ialah sistem feudal. Segala kata raja adalah perintah, segala kehendak raja adalah wajib. Segala kehendak raja akan di turuti. Kerana raja dikatakan berdaulat maka mengingkari kehendak raja akan membawa padah atau akibat yang buruk kepada sesiapa sahaja. Begitulah mutlaknya kuasa raja.

Jadi, tidak hairanlah apabila Parameswara memeluk agama Islam pada 1409 dan menukarkan namanya kepada Sultan Iskandar Syah, semua orang-orang besar Istana, Laksamana dan Panglima serta pengikut-pengikut mereka dan rakyat amnya turut memeluk agama Islam, agama yang dianuti oleh Sultan mereka. Jadi begitulah mulanya Islam di Melaka dan di Semenanjung Tanah Melayu dan ia terus berkembang dan mempengaruhi adat dan budaya orang-orang Melayu sehingga kini.

Allah S.W.T. Maha Agung dan Maha Berkuasa. Dia memberikan iman kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya

Mengaji...

Bismillahirahmanirrahim

( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani )

Semasa kecil-kecil dahulu saya dan adik-adik saya mengaji Al-Qur’an. Setiap petang pada setiap hari selapas sekolah. Kami mengaji Al-Qur’an daripada seorang ustaz yang terkenal sebagai seorang yang pandai mengaji. Kami diajar supaya tahu mengeja, tahu dimana panjang atau pendeknya, atas atau bawahnya, dimana sabdunya, supaya sebutan kami tepat dan betul. Tetapi pada masa itu, itulah sahaja yang diajar semasa mengaji Al-Qur’an.

Saya dan adik-adik saya dan kawan-kawan lain yang bersama-sama mengaji tidak langsung paham apa yang kami baca. Apa maksud ayat-ayat yang kami baca. Kami membaca ibarat burung tiung yang diajar bertutur dan boleh bertutur tetapi tidak paham langsung apa yang dituturkan. Begitulah kami mengaji hari-hari, daripada jahama (muqaddam) ke Al-Qur’an sehingga ramai daripada kami yang khatam.

Itu semua di sekitar tahun 60-an, semasa saya di peringkat sekolah rendah. Agama Islam tidak diajar di sekolah, kalau diajar pun di sekolah hanya di sebelah petang, selepas habis waktu sekolah bagi murid-murid sekolah pagi. Kehadiran sangat kurang, ustaznya pun kurang berminat untuk mengajar, semuanya ibarat melepaskan batuk di tangga.

Zaman beredar dengan begitu pantas. Kemajuan demi kemajuan telah kita capai. Kitab Al-Qur’an yang dahulunya dibuat hanya dengan tulisan tangan, yang sudah tentunya akan mengambil masa yang lama dan disebabkan itu juga, lazimnya kitabnya, tebal, besar dan berat. Jadi setiap satu kitab Al-Qur’an pada masa itu sangatlah mahal dan berharga. Tidak ramai yang mampu memilikinya.

Hari ini kitab Al-Qur’an mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja kerana harganya tidak lagi mahal. Ini adalah kerana Al-Qur’an dicetak dan tidak lagi ditulis dengan tangan.Teknologi pencetakan sudah begitu maju dan boleh mencetak beribu-ribu naskah Al-Qur’an dalam satu hari sahaja. Tetapi lebih daripada itu, hari ini kita boleh mendapatkan naskah yang mempunyai terjemahan dalam berbagai-bagai bahasa termasuklah dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu mahupun Bahasa Cina, India dan lain-lain.

Jadi bertuahlah kita pada hari ini kerana kita boleh mengaji disamping memahami maksud ayat yang kita baca. Kalau kita tidak belajar mengaji pun, kita boleh membaca terjemahaan Al-Qur’an dari surah pertama hingga ke akhir bagi memahami maksudnya. Sebenarnya sia-sia sahajalah sesiapa yang membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami maksudnya kerana sebenarnya Alah S.W.T. menurukan Al-Qur’an untuk menyampaikan firmanNya (risalah) kepada umat manusia.

Pada saya, mustahaknya mengaji Al-Qur’an itu ialah supaya kita memahami apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T melalui mukjizat agung kitab Al-Qur’an. Kita mengaji dan belajar Al-Qur’an tidak seperti yang sepatutnya. Kita tidak mengkaji dan menimba ilmunya, “yang lebih luas dari jangkauan akal manusia.’’ Kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Kita tidak mengambil teladan atau iktibar. Hari ini umat Islam ketinggalan kerana Al-Qur’an itu ditinggalkan, tidak dijadikanpanduan utama dalam kehidupan.Ini juga sebabnya mengapa umat Islam di banyak negara-negara Islam berada dalam keadaan kolot, buta huruf, miskin, mengemis, lemah dalam segala bidang dan huru-hara. Mana mungkin kita menjadi khalifah di bumi Allah ini jika begitu keadaanya umat Islam.

Sesungguhnya sangat rugi sesiapa sahaja yang membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami maksudnya, tidak ubah seperti burung tiung yang saya katakan tadi.

Mungkinkah kita masih mementingkan pada melagukan Al-Qur’an daripada memahami maksudnya? Jika begitu kita akan sentiasa berada dalam kerugian.

Dakwah

Bismillahirahmanirrahim

( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani )

Mengapa Parameswara memeluk agama Islam? Kita hanya boleh membuat beberapa andaian. Tetapi sudah tentulah kerana dia berasa amat tertarik dengan orang-orang Islam yang datang berdagang ke Melaka. Tertarik dengan adab mereka, dengan kejayaan mereka, dengan kemewahan mereka dan juga ilmu mereka. Sudah barang tentu seorang raja seperti Parameswara tidak akan dengan mudah mahu meninggalkan agama yang dianuti oleh datuk neneknya turun temurun jika tidak kerana faktor yang kuat yang membawa keuntungan dan kebaikan kepada dirinya dan negerinya.

Memeluk agama Islam amatlah mudah. Dari dahulu sehingga hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi seorang muslim dengan mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi Islam pada zaman kerajaan Melaka amatlah tidak sempurna. Ini mungkin kerana kitab Al-Qur’an hanya dimiliki oleh beberapa orang sahaja dan itupun dikalangan pembesar-pembesar istana. Bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa pertuturan orang Melaka. Oleh kerana itu, mereka bukan sahaja tidak boleh membacanya mereka juga sudah pasti tidak memahaminya.

Berapa ramaikah agaknya pendakwah agama Islam pada masa itu? Berapa ramaikah ustaz yang boleh mengajar mengaji pada masa itu? Sudah tentulah jika adapun, jumlah mereka sangat sedikit bilangannya. Oleh yang demikian orang-orang Melayu yang memeluk agama Islam pada masa itu pastinya jauh dari lengkap Islamnya, tidak mengamalkan Islam dengan sempurna. Amalan dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam masih turut dipraktikkan.

Tidak berapa lama dahulu kita ada dengar khabar orang-orang Melayu yang beragama Islam masih melakukan perbuatan khurafat, membayar nazar atau memohon-mohon di kubur-kubur orang alim atau dipercayai wali-wali di Pulau Besar Melaka supaya hajat mereka dimakbulkan.

Alhamdullillah, perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan Islam semakin hari semakin lenyap. Kita semakin memahami agama kita. Kemudahan-kemudahan untuk kita belajar, memahamai dan mendalami Islam ada di mana-mana di negara kita yang bertuah ini. Tetapi kekadang kita terlupa bahawa kita tinggal di sebuah negara yang majmuk penduduknya. Sikap, perbuatan, perlakuan, amalan kita sebagai orang Islam secara tidak langsung adalah juga merupakan dakwah. Apa-apa perlakuan atau adab orang Melayu yang bercanggah dengan Islam dengan mudah boleh disalahertikan oleh lain-lain kaum di negara ini sebagai nilai-nilai Islam. Kesannya sangat negatif kepada dakwah Islamiah.

Sebelum terbinanya lebuhraya PLUS, sesiapa sahaja yang hendak ke utara atau selatan akan menggunakan jalan-jalan persekutuan. Kemudahan untuk menunaikan solat ada di sepanjang jalan. Ini sangatlah baik kerana apabila masuk waktu, mudahlah bagi orang-orang Islam untuk singgah dan menunaikan solat. Tetapi saya perhatikan di hampir semua masjid-masjid ini ada papan-papan tanda besar yang mengingatkan kita supaya “Sembahyanglah anda, sebelum anda disembahyangkan”. Di sesetengah masjid ia berserta dengan gambar jenazah yang sudah dikafankan, dalam keadaan terbaring.

Apakah cara peringatan supaya kita menunaikan solat seperti ini sesuai sedangkan kita tahu bahawa papan tanda itu dilihat bukan sahaja oleh orang Islam tetapi oleh sesiapa sahaja yang lalu dijalan itu. Pada orang Cina contohnya, mati itu adalah kecelakaan. Sebutan ‘si’ atau mati, pun sebolehnya mereka hendak elakkan. Jadi apakah tanggapan mereka pada agama Islam, jika mereka melihat di merata-rata masjid tempat orang Melayu beribadah, seolah-olah mati yang diutamakan?

Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan tabligh kita. Memang niat mereka sangat murni. Dan pengorbanan yang mereka lakukan untuk mengembangkan syiar Islam dengan dakwah cara ini, jauh dan dekat, ke segala ceruk dan rantau adalah usaha yang sangat besar pahalanya pada sisi Allah S.W.T. Namun begitu hendaknya mereka janganlah lupa bahawa wajah yang dibawa dan kebersihan diri adalah antara aspek-aspek yang penting yang memudahkan dihampiri ataupun menghampiri orang perseorangan ataupun masyarakat.

Tidaklah ada niat saya untuk memperkecilkan kumpulan-kumpulan tabligh kita, jauh sekali untuk menghina kegiatan mereka. Namun kita tidak boleh menafikan pendapat ataupun tanggapan sebahagian daripada masyarakat bahawa pergerakan tabligh lazimnya tidak berdisiplin, kerap meninggalkan keadaan yang tidak bersih apabila singgah di masjid-masjid atau surau, menyebabkan mereka sinonim dengan amalan yang tidak bersih.

Allah S.W.T Maha Suci dan sangat suka kepada kebersihan. Perkataan tabligh itu sendiri diambil dari salah satu daripada sifat-sifat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud menyampai. Baginda mempunyai peribadi yang sangat bersih lagi suci hatinya.

Tetapi apakah gambaran yang dibawa oleh kumpulan tabligh kita? Adakah ia merupakan cerminan agama Islam sebenarnya? Mereka juga lupa bahawa kita tinggal dalam sebuah negara yang majmuk. Apa pula pandangan masyarakat bukan Islam terhadap kumpulan-kumpulan tabligh ini dan juga terhadap agama Islam yang dibawa oleh kumpulan tabligh.

Jika tanggapan masyarakat bukan Islam tidak diambil kira kerana kumpulan tabligh hanya bergerak dikalangan masyarakat Islam, maka agama yang maha suci ini akan dipandang serong oleh masyarakat bukan Islam. Oleh itu mereka pun akan menjauhkan diri daripada Islam dan ini amat merugikan.

Dalam berdakwah,dalam berusaha mengembangkan syiar Islam kita kerap gopoh. Iaitu kita tidak mengambil iktibar daripada amalan Rasullullah S.A.W ketika baginda menyampaikan risalah Agama Suci ini. Bukan sahaja itu, kita lemah kerana kita sibuk berdakwah dikalangan orang-orang Melayu yang sudahpun beragama Islam.

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W Islam itu disampaikan beransur-ansur seperti juga Al-Qur’an diturunkan beransur-ansur. Tentu ada hikmahnya mengapa ia begitu, cuma kita tidak mahu mengambil iktibar daripadanya. Dewasa ini apabila sahaja seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah tidak kira sesiapapun, dia akan terpaksa meninggalkan segala amalan yang telah menjadi cara hidupnya selama ini. Pada kaum kerabat dan masyarakat sekeliling yang bukan Islam melihat pekara ini akan beranggapan Islam itu satu agama yang amat keras dan tidak bertoleransi. Ini terutamanya di kawasan-kawasan pedalam di negeri Sabah dan Sarawak.

Saya berpendapat, mungkin lebih baik kita mengutamakan ‘conversion’ seseorang itu kepada agama Islam daripada mengutamakan amalan dan cara hidup Islam kerana ini boleh di didik dan juga boleh dipelajari secara beransur-ansur. Memanglah pada mulanya seseorang yang memeluk Islam itu tidak akan tahu membaca Al-Qur’an ataupun menunaikan solat tetapi jika pendakwah-pendakwah kita mahu bersabar dan mendampingi mereka dan mengajar dengan hikmah secara beransur-ansur sudah tentu Islam mereka akan bertambah baik. Walaunpun tidak sempurna cara agama Islam yang mereka amalkan, tetapi Islam yang diamalkan oleh anak-anak mereka mungkin lebih baik, yang diamalkan oleh cucu mereka bertambah baik lagi dan InsyaAllah generasi yang seterusnya akan lebih mendalam dan menebal kefahaman mereka terhadap agama Islam.

Berdakwah itu mestilah dilihat pada jangka masa yang panjang. Dan Islam itu mestilah dilihat sebagai agama yang sangat mudah, mengampunkan dosa dan sangat mengasihani.