Friday, August 15, 2008

HINDRAF : Membela Nasib Atau Mencari Keuntungan RM 1 Juta?

Lebih 150 tahun dahulu, buruh dari India di bawa oleh British di bawah Sistem Kangani pada tahun 1786 hingga 1957 untuk bekerja di ladang-ladang getah dan kelapa sawit di Tanah Melayu. Buruh-buruh India yang dibawa masuk pada zaman itu diperlakukan bagai hamba suruhan British yang berkuasa menjajah di Tanah Melayu.

Jika di lihat seawal kedatangan masyarakat tersebut di Tanah Melayu pada satu masa dahulu mereka tidak dapat memajukan identiti serta budaya sendiri berbanding pada waktu kini, yang mana mereka bebas berpersatuan dan mengamalkan amalan dan kepercayaan mereka sendiri. Kita dapat lihat lagi dengan jelas Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam yang besar di Batu Caves memberi peluang kepada masyarakat India menjalankan aktiviti mereka.

Hari ini masyarakat India ramai yang berjaya atas daya usaha mereka sendiri dalam bidang pengajian dan kerana kemajuan itu, mereka tidak dibelenggu dengan kemiskinan lagi sehingga ramai yang menjadi doktor, jurutera dan akauntan serta usahawan berjaya. Contoh yang paling jelas ialah usahawan T. Ananda Krishnan yang mempunyai aset sebanyak AS$ 7.2 billion sekaligus digelar orang India yang terkaya di Malaysia selepas Robert Kuok.

Tuduhan yang melulu menyatakan bahawa Malaysia melakukan dasar pembersihan kaum atau “ethnic cleansing” merupakan tuduhan yang tidak berasas. Jika ingin dilihat, masyarakat India di negara mereka sendiri nasibnya tidak terbela dan terjamin sepertimana masyarakat India di Malaysia.

Tidak benar sama sekali kerajaan Malaysia menganaktirikan kaum India. Tuduhan bahawa berlaku pembersihan kaum adalah fitnah melampau yang mempunyai niat yang sangat jahat. Sebenarnya di mana-mana sahaja contoh kejayaan yang di miliki oleh kaum India di Malaysia dapat di lihat dengan jelas.

Sebab itu bukan sesuatu perkara yang mengejutkan apabila di satu persidangan terkemuka yang dianjurkan baru-baru ini, seorang ahli panel membangkitkan mengenai kira-kira 150,000 petani di India membunuh diri dalam tempoh satu dekad lepas akibat dihimpit kemiskinan. Jumlah ini bersamaan dengan purata satu kematian setiap 30 minit. Terbukti kaum India lebih bernasib malang di negara asal mereka sendiri.

Susu yang diberi tuba yang dibalas, masyarakat India tidak membuka fikiran dan mata tetapi hanya memikirkan keuntungan yang bakal di peroleh, iaitu menuntut ganti rugi 4 trilion Paun British (RM 27.7 trillion ) atau RM 1 juta bagi setiap rakyat India di Malaysia dan kerana dibutakan dengan janji duit, mereka sanggup mencemarkan nama baik negara tempat mereka menumpang tuah selama ini.

Masyarakat India yang menyokong perhimpunan haram anjuran HINDRAF juga bagai kerbau di cucuk hidung, hanya mengikut sahaja usul yang dibangkitkan tanpa mereka sedari bahawa diri mereka sendiri diperalatkan. Sikap tidak mengkaji dan menyelidik terlebih awal menunjukkan mereka hanya seperti orang suruhan.

Tuesday, August 12, 2008

FORUM MEMELUK ISLAM OLEH MAJLIS PEGUAM PADA 9 OGOS 2008

Akhir-akhir ini Majlis Peguam Negara seakan-akan mahu mengambil kesempatan di atas kemenangan besar Parti-Parti Pembangkang pada Pilihan Raya Ke-12. Ini jelas apabila nasihat-nasihat yang diberi oleh kerajaan supaya tidak menyentuh perkara-perkara sensitif berkaitan dengan Agama Islam dan kaum tidak diendahkan. Nampaknya semakin diberi nasihat semakin angkuh sikap mereka.

Agama Islam adalah tertakluk di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan sesiapa yang mencabarnya, mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu . Atau mungkin Majlis Peguam tidak memperakui kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Saya rasa sudah sampai masanya tindakan tegas diambil ke atas pemimpin-pemimpin Majlis Peguam ini.

Thursday, August 7, 2008

UMNO dan Perjuangan Kemerdekaan

  • Sedarkah anda bahawa musuh negara dari dalam dan luar negara, sedang berusaha untuk menggugat kerajaan BN dan menghancurkan UMNO sekaligus peranan politik orang melayu dalam mempertahankan kedaulatan Negara.
  • Usaha berterusan di buat secara bersungguh-sungguh untuk menebal kebencian terhadap kerajaan BN supaya orang melayu menolak BN dan UMNO. Mereka percaya walaupun yang terhasut hanyalah sebilangan kecil orang melayu yang menyokong UMNO, tetapi ia mungkin dapat melemah dan menjejaskan perjuangan UMNO.
  • Tanpa UMNO negara ini akan dikuasai oleh negara asing dan dengan itu peluang memilih orang Melayu dan menjadi mereka bangsa yang berjaya, bermaruah dan dihormati akan hilang. Lebih 400 tahun Melayu menunggu mendapat balik kuasa dan peluang untuk membela nasib memajukan diri setaraf dengan bangsa-bangsa maju di dunia ini. Sekarang melayu sudah mendapat peluang ini dan janganlah mensia-siakannya kerana semata-mata percaya bahawa seorang yang kecewa dan bermoral, kononnya telah dianiaya.
  • Jika kita mahu sejarah penaklukan kita oleh kuasa asing tidak berulang hendaklah kita sedar bahawa kemerdekaan, kebebasan boleh dihapuskan dalam masa yang singkat dan setelah hilang kemerdekaan tidak mudah mengembalikannya kembali. Proses mengembalikan kemerdekaan memakan masa yang amat panjang. Hakikatnya ini perlu diingat jika kita menghargai kemerdekaan kita. Jika kita ingin kekalkan penentuan nasib kita dibuat oleh kita sendiri, selama-lamanya kita perlu meningkatkan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Analisis: Mampukah Anwar Terus Raih Simpati Di Permatang Pauh?

MUNGKINKAH Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu meraih simpati penduduk Permatang Pauh pada pilihan raya kecil kali ini selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menikmati 'keistimewaan' itu sejak tiga pilihan raya umum lalu?

Umum mengakui walaupun Anwar terlepas tiga pilihan raya sejak 1999, bayangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus menghantui pengundi Permatang Pauh sehingga memberi kemenangan kepada Dr Wan Azizah.

Kisah mata lebam dan meringkuk di sebalik tirai besi selama enam tahun serta hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya sehingga April lalu, menjadikan Anwar begitu popular, sekali gus memudahkan isterinya memancing undi penduduk Permatang Pauh.

Cukup Bukti Dakwa Anwar

JALANKAN TUGAS: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira (kanan) keluar dari rumah Anwar di Bukit Segambut selepas menyampaikan sapina, semalam.

Hadapi tuduhan liwat pembantu

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Pejabat Peguam Negara selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang diminta mengulas perkara itu percaya polis mempunyai cukup bukti bagi mendakwa Anwar bersabit tuduhan itu.


"Polis bukan bodoh untuk mendakwa jika tiada bukti," katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah

mengarahkan supaya Anwar didakwa bagi mengalihkan perhatian

rakyat terhadap masalah yang dihadapi negara.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, Abdullah berkata, beliau sendiri pernah mengingatkan polis supaya menggugurkan kes itu jika tidak ada bukti.

"Jika ada bukti, dakwa... jika tidak, gugurkan. Itu yang saya katakan... terpulang kepada mereka untuk memutuskan berdasarkan siasatan yang sudah dilakukan.

"Jika mereka berasakan terdapat cukup bukti, mereka perlu mendakwa kerana ada orang, iaitu Mohd Saiful menuntut keadilan... mungkin anda terlupa Saiful dan berasakan Anwar lebih penting.

"Ini adalah persoalan undang-undang dan polis bertanggungjawab menjalankan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful. Jika mereka ada bukti untuk mendakwa, kita tidak boleh menghalangnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata polis semalam menyerahkan notis mengarahkan Anwar hadir di mahkamah pada jam 10 pagi ini.

"Polis sudah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual membabitkan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar, dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada dalam sistem perundangan negara.

"Sehubungan itu, kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan. Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Anwar," katanya.

Terdahulu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira, menyerahkan notis itu kepada Anwar di kediamannya di Bukit Segambut, Segambut Dalam di sini.

Anwar sendiri menerima notis itu dan mengesahkan akan hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Pereira yang diiringi tiga pegawai dan anggota polis dengan menaiki dua kereta, dilihat memasuki kediaman Anwar seorang diri, kira-kira jam 12 tengah hari sebelum keluar 15 minit kemudian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila dikerumuni lebih 30 wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar kediaman Anwar sejak jam 8 pagi.

Polis menjalankan siasatan terhadap Anwar selepas Mohd Saiful, 23, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun lalu mendakwa Penasihat PKR itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Damansara, 26 Jun lalu.

Pada 16 Julai lalu, Anwar ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan hari dan diarah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada 18 Ogos ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.