Saturday, September 19, 2009

Aidil Fitri

Sudah menjelang Aidil Fitri, kita umat Islam di Malaysia akan meyambutnya dengan kesyukuran dan kegembiraan.

Tetapi jangan kita lupa, dibegitu banyak negara-negara Islam lain Aidil Fitri tidak membawa apa-apa erti kepada saudara mara kita di sana. Kedaifan, kebuluran, peperangan, pembunuhan, kesedihan melanda dan berleluasa.

Di negara negara ini, Islam hanya tinggal pada nama.
Bila keselamatan sudah tidak terjamin, tempat tinggal pun tidak ada, bila kebuluran meragut nyawa setiap hari, hidup sebagai pelarian, apa amal, apa ibadah yang boleh dilakukan? Sedangkan hidup pun tidak menentu.

Dikatakan dunia sudah tidak punyai sempadan.
Kita pun dengan menaiki pesawat udara boleh sampai hampir kemana sahaja dalam tempoh 24 jam. Dan disebabkan kemajuan I.T. apa sahaja yang berlaku dimana sekalipun, kita boleh menyaksikannya dalam keadaan sebenar semasa ia sedang berlaku.

Jadi saya katakan, saudara-mara, jiran tetangga kita bukan sahaja lagi yang tinggal di sebelah rumah ataupun setaman dengan kita, tetapi sebenarnya yang tinggal di mana-mana sahaja di negara mana sekalipun dalam dunia ini.

Sebenarnya lebih ramai umat Islam dinegara-negara Islam tinggal di dalam keadaan daif dan menderita daripada yang tinggal dinegara yang aman seperti Malaysia, sempat bersenang2 dan gembira. Ini jangan kita lupa.

Negara- negara Islam lebih banyak yang mundur dan serba-serbi kekurangan, serba-serbi bergantung kepada negara yang bukan Islam. Tetapi umat Islam mengatakan Islam adalah agama yang diredha Allah dengan cara hidup yang sempurna hingga akhir zaman. Namun kita tidak membuktikannya dalam amalan kita, dalam bidang ilmu pengetahuan, dalam bidang ketenteraan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang sains dan penyelidikan. Pendek kata dalam semua bidang kita tidak membuktikannya, dan kita jauh ketinggalan.

Umat Islam amat mudah diperkotak katikan, diadu dumbakan. Kita mudah dipecah belahkan dan dihasut supaya saling mencurigai hingga sampai sanggup berbunuhan sesama sendiri. Dalam sedar kita menumpahkan darah saudara kita, dalam sedar kita melakukan perbuatan yang haram kerana memang menumpahkan darah sesama Islam itu haram.

Saya katakan, kita Umat Islam di negara ini pun, belum begitu terjamin masa depan kita. Bibit2 melapetaka, akibat daripada perpecahan Ummah kerana perbezaan politik dan ketamakan merebut kuasa sehingga sanggup mengkhianati bangsa, semakin kelihatan.

Oleh itu dalam kita berhari raya marilah kita insaf bahawa Umat Islam seluruhnya dan sebenarnya berada dalam keadaan darurat. Bersederhanalah dalam bergembira, insaflah dan beringat2lah sentiasa.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin

Thursday, September 3, 2009

HENTIKAN VOA

Memanglah sebagai sebuah negara yang membangun, kita juga memerlukan hasil dapatan daripada industri pelancongan. Dan memanglah diakui bahawa pelancongan merupakan antara industri yang utama yang banyak mendatangkan hasil kepada negara.

Industri pelancongan seperti juga industri petroleum, ada upstream dan downstreamnya dan setiap kali ekspo-ekspo yang berkaitan dengan pelancongan dianjurkan Malaysia diperkenalkan lagi seantero dunia.

Ini semua memang mendatangkan kesan positif bagi sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi dalam urusan menjaga keselamatan negara kita tidak boleh bertolak ansur. Hari ini kita tahu begitu ramai pendatang asing yang datang dan kemudian apabila tamat tempoh visa tidak memperbaharuinya tetapi terus tinggal di sini sebagai pendatang tanpa izin.

Perkara seperti ini merumitkan lagi tugas anggota keselamatan yang sudah pun dibebani dengan begitu banyak tanggungjawab disamping menerima tekanan bukan sahaja akibat daripada kekurangan anggota yang serius tetapi juga dari ahli-ahli politik yang membuat berbagai tohmahan dan tuduhan kepada pihak polis.

Selain daripada itu pintu masuk ke Malaysia yang mengeluarkan VOA begitu banyak sekali iaitu:-
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Lapangan Terbang ANtarabangsa Senai, Johor
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah
Kompleks Sultan Abu Bakar (Second Link), Tanjung Kupang, Johor
Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Chagar, Johor Bahru, Johor

Dengan kadar bayaran hanya RM 330.00 sahaja untuk mendapatkannya. Sudah sampai masanya kerajaan meneliti semula pemberian VOA ini. Walaubagaimanapun saya berpendapat dan mengesyorkan supaya ianya diberhentikan terus. Tindakan seperti ini sangat perlu tambahan pula dengan ancaman H1N1 atau selsema babi yang memang asal datangnya dari luar negara. Penyakit ini semakin hari nampaknya semakin menjadi-jadi apabila jumlah pesakit bertambah. Khabar yang menakutkan sekarang ialah bahawa virus ini akan mutate menjadi lebih ganas dan imun kepada ubat-ubatan akan menyerang bukan sahaja orang-orang yang berisiko tinggi tetapi orang-orang yang sihat. Jika VOA diberhentikan mungkin ancaman virus yang baru ini sedikit sebanyak akan dapat dibendung, Insya’ALLAH.

Kerajaan juga memang sudah maklum bahawa penyakit-penyakit yang telah dapat kita hapuskan dengan jayanya seperti kusta, tibi, malaria sekarang sudah mula menular kembali dikalangan rakyat negara ini. Penyakit-penyakit ini besar kemungkinan dibawa oleh pendatang-pendatang yang masuk melalui VOA.

Jika Malaysia adalah sebuah negara yang aman, stabil, rakyatnya bersatu padu, ekonominya kukuh, bandar-bandar dan kampung-kampung halaman rumah semuanya bersih ; ditambah pula dengan kadar pertukaran matawang ringgit yang sangat rendah, saya percaya pelancong-pelancong akan tetap datang ke negara ini. Ini adalah kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu kaya dengan keindahan alam semulajadi yang dianugerahkan oleh ALLAH s.w.t.

Kerajaan tidak boleh berlengah lagi dalam perkara ini. Saya mengesyorkan VOA diberhentikan as soon as possible.