Parti-parti komponen utama dalam Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan dan MIC terus mengambil kesempatan untuk mendesak UMNO supaya menambah-nambahkan habuan untuk kaum mereka. Walaupun demikianlah usaha UMNO untuk memenuhi tuntutan yang dibuat oleh mereka namun mereka tetap tidak berpuas hati. Dan akibatnya, akhir-akhir ini sudah ada pemimpin-pemimpin atasan daripada parti komponen BN yang meninggalkan BN untuk menyertai parti pembangkang.
Parti PAS juga tidak memperjuangkan hak orang Melayu, yang lebih diutamakan adalah agenda politik yang sempit untuk merebut kuasa semata-semata. Segala kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti ini terutamanya yang digelar Tok Guru semuanya bertujuan untuk memancing undi dan untuk mendapatkan undi daripada kaum-kaum lain segala kepentingan orang Melayu akan digadaikan. Begitulah dengan DEB, dengan biasiswa, dengan pentadbiran dan pemerintahan negara ini sekalipun.
Sebenarnya begitu ramai orang-orang Melayu terpedaya dengan Islam yang dijual oleh PAS dan akhir-akhir ini daripada mulut Tok Guru ini tidak ada kata-kata hikmah yang keluar. Islam yang dibawa oleh parti PAS dan pemimpin-pemimpinnya tidak membawa kepada kejernihan, tidak mengeratkan, tidak menyatupadukan, tidak mengukuhkan tetapi sebaliknya mengeruhkan dan memporak-perandakan ummah. Jadinya orang Melayu semakin lama semakin rugi dan semakin terhimpit dan tertekan disetiap penjuru akibat karenah pemimpin-pemimpin yang suntuk akal fikirannya.
Kita berharap pemimpin-pemimpin UMNO disemua peringkat supaya berhenti bertelagah sesama sendiri dan menumpukan pada perjuangan membela bangsa, agama dan negara. Ini yang utama, ini yang utama, ini yang utama. Tidak ada lain yang lebih penting daripada memperjuangkan tiga perkara ini.
Kalau tidak UMNO, tidak ada mana-mana parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan perkara-perkara ini. Orang-orang Melayu sebenarnya patut sudah insaf bahawa tidak ada parti politik selain daripada UMNO yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam.
UMNO memang mempunyai kelemahan, yang penting ialah usaha perlu diambil untuk memperbaikinya. Ini perlu dilakukan disetiap peringkat kepimpinan bagi mengembalikan keyakinan orang-orang Melayu terhadap UMNO.
Hanya UMNO yang kuat akan diyakini dan dihormati. UMNO yang kuat juga akan diyakini dan dihormati oleh lain-lain kaum di negara ini. UMNO tidak akan kuat dan diyakini jika tidak bersatu padu. Hanya apabila UMNO bersatu padu barulah perjuangan untuk membela yang hak tidak akan dipertikaikan.