Thursday, February 7, 2013

Analisis Y.B Datuk Sri Dr. Ahmad Hamidi, Menteri Pertahanan dalam Utasan Malaysia pada hari semalam menyingkap dan sekaligus mendedahkan segala aspek kekeliruan PAS sebagai sebuah parti politik yang mendakwa berwadahkan Islam. Saya muat naikkan analisis tersebut dalam blog saya kerana nada/bahasa yang digunakan bagi merungkai segala perbuatan songsang pemimpin PAS sangat sederhana.

Fatwa Politik Bohongi Pengikut

Parti-parti politik semakin rancak menjalankan operasi untuk mempengaruhi pengundi dengan pelbagai pendekatan. 

Asas utama untuk mendapat sokongan undi datangnya daripada penyokong tegar parti masing-masing sebagai simpanan tetap.

Penyokong tegar terdiri daripada pengikut yang taksub. Mereka akan mematuhi dengan penuh komitmen sebarang arahan dan pendapat daripada para pemimpin, biarpun pandangan peribadi kerana pemimpin telah menanam ketaksuban kepada pengikut.

Pengikut taksub akan akur pada setiap pandangan pemimpin mereka secara membuta-tuli, walaupun pandangan itu jauh tersasar daripada fatwa ulamak muktabar berlandaskan hukum agama, sebaliknya cenderung kepada hanya sebagai fatwa politik.

Pengikut yang taksub seperti ini amat sukar untuk digoyah kerana keyakinan yang amat mendalam kepada pemimpin, apatah lagi jika pemimpin itu dianggap pemimpin spiritual.

Dalam teori kepimpinan dan teori kepengikutan, terdapat dua elemen penting yang menjadi asas kepada kedua-dua teori ini, iaitu pemimpin dan pengikut.

Dalam bahasa mudah, pemimpin merupakan individu dan kumpulan yang memimpin. Pengikut pula merupakan individu atau kumpulan yang menjadi pengikut. Tiada pemimpin yang tiada pengikut, sebaliknya pengikut tanpa pemimpin boleh wujud secara bersendirian tanpa pemimpin.

Tidak seorang pun akan mendapat gelaran pemimpin jika tidak terdapat pengikut. Pemimpin dipilih, dilantik atau mengangkat dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin.


Pemimpin akan mendapat pengiktirafan pengikut, sama ada secara terhormat atau secara terpaksa. Malah terdapat dalam kalangan pemimpin yang memaksa secara halus bagi mewujudkan pengikut tegar dengan mentaksubkan mereka untuk menerima apa juga pegangan pemimpin, biarpun menyalahi perundangan negara.

Sesebuah organisasi, apatah lagi organisasi politik akan mempengaruhi ahli-ahli yang menjadi pengikut untuk meyakini perjuangan politik yang dibawa dengan matlamat untuk mencapai cita-cita politik organisasi atau individu.

Pemimpin organisasi politik akan menanamkan keyakinan kepada pengikut yang menjadi ahli organisasinya dengan mewujudkan ketaatsetiannya yang tidak berbelah bahagi. Ia dilakukan melalui interaksi interpersonal dengan menjalin keakraban, kursus perkaderan dan latihan simulasi.

Segala-galanya digarap bagi menanam ketaksuban dan pada waktu yang sama menanam kebencian kepada musuh politik dan membenihkan ketaatan kepada pemimpin sendiri.

Ketaksuban yang melampau diindoktrinasikan agar pengikut mudah untuk diyakinkan bahawa sebarang tindakan yang mereka lakukan merupakan suatu jihad dan mendapat balasan syurga, biarpun sebenarnya tidak lebih daripada gimik politik.

Kerap kali juga terdapat unsur pemaksaan secara halus agar ketaatan dan ketaksuban dalam kalangan pengikut supaya mereka mudah mengikut arahan.

Unsur paksaan termasuk isteri boleh tercerai jika pengikut lari untuk meninggalkan jemaah perjuangan, tambahan pula jika lari mengikuti parti lain.

Mengugut dengan bai'ah (perjanjian) jika tidak mematuhi kepimpinan menjadi kelaziman dengan menggunakan ayat al-Quran untuk menghalalkan tindakan mereka.
Sedangkan hukuman yang terdapat dalam ayat al-Quran hanya menyentuh dalam kalangan mereka yang meninggalkan medan peperangan ketika zaman Rasulullah dalam memerangi golongan kafirun.

Jika terdapat di antara pengikut, biarpun mereka itu pernah menganggotai barisan saf kepimpinan utama, dihukum dengan mengambil tindakan menggugurkan jawatan kerana hanya mengikuti pemimpin parti lain untuk mendekatkan diri dengan kumpulan ulama di Makkah al Mukarramah atau mengikuti rombongan ke Gaza, Palestin atas asas menterjemahkan keprihatinan keperimanusiaan.

Menggantung keahlian menjadi tindakan lazim yang selanjutnya. Ia bertujuan agar pengikut akan meninggalkan parti tanpa perlu dipecat. Tindakan ini akan dipandang bahawa parti tidak zalim, tetapi sebaliknya pengikut itu yang menzalimi diri sendiri.

Tindakan selanjutnya adalah dengan memecat keahlian atau keanggotaan parti. Hukuman ke atas pengikut dilaksanakan sebagai langkah memurnikan keputusan jawatankuasa disiplin yang kononnya bagi memberikan hukuman terakhir dengan tujuan untuk mengajar ahli-ahli lain supaya tidak berbeza pendapat dengan pemimpin.

Pemimpin yang berstatus "maksum" dan dipercayai oleh pengikutnya tidak pernah melakukan kesalahan (can do no wrong) akan disanjung, seolah-olah sama taraf dengan Nabi yang bersifat sempurna.

Pemimpin akan menggunakan ketaksuban yang tertanam dengan kukuh dalam kalangan pengikutnya untuk mengiyakan sebarang lontaran pendapat seolah-olah sebagai fatwa, biarpun ia hanya merupakan pendapat peribadi.


Atas sifat ketaksuban, pendapat peribadi sering dirujuk sebagai fatwa mutlak, biarpun ia hanya sekadar fatwa politik. Malang sekali pengikut yang taksub tidak layak untuk mempertikaikan fatwa politik yang dikeluarkan, biarpun terkeluar daripada akidah Islam sebenar.

Lazimnya, sama ada di bawah sedar atau disengajakan, pemimpin maksum akan memberikan pendapat peribadi berdasarkan tafsiran sendiri terhadap makna sesuatu perkataan atau ayat yang hanya berlandaskan logik akalnya, tanpa terdapat relevansinya dengan ilmu mantik.

Ketika pemimpin menghadapi pengamal media sama ada media konvensional atau media sosial, kerap kali akan menghamburkan pandangannya dengan penuh emosi dan nada menyindir.

Pemimpin berkenaan akan memetik ayat- ayat Al-Quran tertentu sebagai sandaran untuk menyokong pendapat peribadinya. Ini dilakukan agar pendapat peribadinya kelihatan lebih berkredibiliti.

Pemimpin yang dianggap maksum akan menjatuhkan hukum dengan hukuman munafik atau murtad, jika pendapatnya disanggah atau bertentangan dengan tafsirannya.

Melalui badan syura, pemimpin akan mempengaruhi pengikut lain, apatah lagi di kalangan yang taksub untuk turut menghukum individu yang menyanggah dan berbeza pendapat.

Pemimpin akan menggunakan pengaruh dan kuasa dengan sepenuhnya. Melalui kedudukannya dalam parti, pemimpin utama akan menggunakan platform kuasanya atau portfolio berpaksikan hujah untuk menjatuhkan hukuman.


Kerap kali kerana terasa tercabar kredibilitinya sebagai pemimpin maksum, pemimpin akan terus menggunakan kedudukannya melalui portfolio yang diketuainya untuk mengesahkan hukumannya dengan menggunakan rakan-rakan seportfolio dengannya supaya menyetujui tindakannya.

Jika pemimpin itu menyedari pendapatnya tidak diterima atau bercanggah dengan hukum Islam sebenar, pemimpin itu akan menyalahkan pihak lain terutamanya media perdana, jika pendapat dan fatwa politiknya bersalahan dengan kehendak akar umbi atau majlis syura.

Malang sekali, biarpun bersalah dalam fatwa politiknya, pemimpin-pemimpin berkenaan tidak menarik balik kenyataan, jauh sekali daripada meminta maaf jika fatwa politiknya terpaksa ditukar.

Pemimpin politik yang mengetuai organisasi politik yang bukan berasaskan agama akan dituduh munafik dan berfikiran jahiliah serta taghut jika menyanggah kenyataan pemimpin parti yang berasaskan Islam.

Biarpun pemimpin yang bertopengkan ulama terus membohongi pengikut, tetapi mereka terus dianggap memperolehi hidayah baharu untuk menjustifikasikan pendirian baharunya kerana fatwa politik terdahulu bertentangan dengan hukum sebenar.

Fatwa politik digunakan untuk membohongi pengikut. Pembohongan yang dilakukan semata-mata bagi mencapai matlamat politik, membohongi pengikut dengan menggunakan agama untuk mencapai matlamat politik.

Sepatutnya platform politik digunakan untuk memperkuatkan agama bukan sebaliknya. Jelas, Islam melarang sama sekali penggunaan agama untuk memperkukuhkan kedudukan politik.


Kesedaran baharu yang timbul dalam kalangan ramai pengikut menyebabkan pemimpin resah dengan mengambil langkah- langkah menyerang musuh politik sebagai kafir.

Sedangkan tindakan mereka bersekongkol dengan pemimpin parti lain yang terang- terang tidak menyetujui keputusan majlis syura terus menjadi teman sejati.

Tunggulah ketikanya, apabila pengikut yang terus dibohongi akan menghukum pemimpin mereka melalui peti undi.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI ialah Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan

No comments: