Friday, June 12, 2009

DATO' NIK AZIZ DAN KERAJAAN PERPADUAN

Hari ini terpampang di dada akhbar Utusan Malaysia gambar Tok Guru Nik Aziz bertajuk ‘Nik Aziz bidas golongan pertahan cadangan Hadi’.

Dengan wajah marah, beliau menuduh usaha sebilangan pemimpin dalam PAS untuk mengadakan pertemuan dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan sebagai suara-suara sumbang dan menuduh mereka lagi sebagai boneka UMNO yang terang dan jelas.

Sebagai ahli masyarakat biasa berbangsa Melayu, beragama Islam, saya berpendapat apa juga usaha untuk menyatupadukan atau memupuk perpaduan dikalangan orang-orang Melayu yang menjadi majoriti bangsa di negara Malaysia, adalah usaha yang baik, sesuai dengan Islam. Dan sudah tentu akan dapat restu daripada Allah S.W.T. Dan Insya Allah akan membawa berbagai-bagai nikmat serta kebaikan kepada negara ini.

Tok Guru Nik Aziz nampaknya memang tidak biasa pendapatnya tidak diterima. Selama ini pun PAS, pernah membuat cadangan ataupun usul di muktamar-muktamar tetapi kerana dibantah oleh Nik Aziz ia tidak dapat dilaksanakan atau tidak menjadi kenyataan.

Mungkin juga Nik Aziz marah kerana ramai pemimpin PAS dari Kelantan pada kali ini kalah dalam pertandingan merebut jawatan. Ini juga boleh menjadi salah satu sebab mengapa beliau dengan bersungguh-sungguh dan dengan nada yang keras menyanggah usaha ke arah menubuhkan kerajaan perpaduan yang dibawa oleh pemimpin yang tidak sealiran dengannya.

Tetapi sebagai seorang tokoh agama yang diterima oleh rakyat Kelantan sebagai ulama, sikapnya yang sebegini sangat bercanggah dengan sifat pemimpin seorang Islam yang berwibawa. Nampaknya, gelagat Nik Aziz lebih merupakan tindakan mempertahankan kepentingan peribadinya sebagai Mursyidul Am Pas yang tidak boleh tidak, mesti diterima pendapatnya dan sikap assobiyahnya terhadap orang Kelantan.

Mungkin juga kerana telah terlalu lama menjadi Mursyidul Am Pas, beliau sudah tidak dapat lagi mengikuti atau memahami arus deras yang sedang berlaku dalam politik negara, ekonomi dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini. Cabaran-cabaran yang datang bukan sahaja dari luar tetapi yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu didalam negara sendiri.

Ada baiknya jika Nik Aziz bermuhasabah sedalam-dalamnya jika betul mahu memperjuangkan agama dan bangsa.

Mari kita semua orang Melayu dan umat Islam menghayati firman Allah S.W.T yang bermaksud, “SESUNGGUHNYA, ORANG YANG BERIMAN ITU BERSAUDARA, MAKA DAMAIKANLAH DI ANTARA SAUDARA KAMU DAN BERTAKWALAH KEPADA ALLAH SUPAYA KAMU DIBERI RAHMAT.” (SURAH AL-HUJURAT, AYAT 10).

No comments: