Thursday, June 25, 2009

NIK AZIZ KUBURKAN PERPADUAN UMMAH

Cadangan kerajaan perpaduan telah dicetuskan oleh PAS, oleh Presidennya sendiri iaitu Dato’ Seri Abd Hadi Awang. Cadangan ini memang sangatlah baik dan seluruh umat Islam mengharapkan supaya ianya menjadi kenyataan. Tetapi kita tahu sekarang disebabkan dibantah keras oleh Dato’ Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan ianya telah terkubur juga.

Dato’ Nik Aziz dalam menolak usaha yang baik ini telah menghamburkan kata-kata yang agak kesat, mencemuh dan menempelak pula UMNO. Jelaslah sekarang pada kita semua bahawa penghalang besar kepada perpaduan orang-orang Melayu dan Islam adalah diri Dato’ Nik Aziz sendiri.

Cuba kita bandingkan pula kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang disiarkan dalam akhbar-akhbar. Kita akan dapati perkataan-perkataan yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO berbanding dengan yang digunakan oleh Dato’ Nik Aziz maka jelas ternampak siapa yang lebih berhemah perwatakannya dan lebih mulia peribadinya.

Hairan saya di buatnya. Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, memang benar kata-kata Mufti Negeri Perak iaitu supaya parti-parti politik yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam mencontohi parti Cina. Dan saya petik kata-katanya antara lain:

“Kalau ada perasaan dendam, hasad dengki dan benci sesama Islam, harap kita tengok pada sembahyang kita kerana sembahyang dapat menghalang perkara tidak baik.

Jadi kalau ada sifat semacam itu, maknanya sembahyang kita itu tidak betul lagilah, kena diperbaiki lagi katanya.”

Saya merasakan kata-kata ini amat tepat tertuju kepada orang yang berusaha untuk memecahkan perpaduan sesama Islam. Tidak kiralah besar mana sekalipun serban yang dipakai di kepala. Kita jangan lupa orang ini pernah menyatakan beliau sanggup bekerjasama walaupun dengan syaitan untuk mengalahkan UMNO.

Marilah kita sama-sama renungkan petikan ayat-ayat Al-Quran di bawah ini, memahaminya dan mengamalkannya semoga kita sama mendapat keredaan daripada Allah S.W.T.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.(Surah Al-Hujuraat, Ayat 12)

Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (Surah Al-Hujuraat, Ayat 10)

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu(masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat.(Surah Ali ‘Imran, ayat 105)

Semoga Allah memelihara kita semua.

1 comment:

Anonymous said...

Saya adalah antara mereka yang akan bersetuju jika PAS / UMNO / dll bubar dan tubuh parti baru yang satu. Malangnya ianya tidak jadi kenyataan buat masa ini. TGNA menyedihkan saya. Kalau pun tak bersetuju, bantahannya yang macam tu, memecahkan orang Islam Melayu. TGNA perlu ingat kisah Saidina Umar. Saidina Umar, seorang yang keras menentang Islam kemudiannya adalah pejuang Islam tulin. Kisah UMNO khianat PAS tak setaraf dengan Umar.