Friday, August 21, 2009

Ramadhan Al-Mubarak

Alhamdullillah, kita umat Islam di negara ini perlu banyak bersyukur kerana diberikan kesempatan sekali lagi oleh Allah S.W.T. untuk beribadah dan beramal pada bulan yang barakah ini.


Umat Islam di negara ini juga perlu banyak bersyukur kerana kita tinggal di sebuah negara Islam dan boleh melakukan segala perintah Allah S.W.T. dengan mudah tanpa khuatir akan apa-apa ancaman atau dihalang oleh sesiapa. Dan kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam, begitu banyak dan berbagai-bagai kemudahan disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan-kewajipan agama dengan segala keselesaan.


Pada bulan yang mulia ini juga marilah kita semua sama-sama insaf bahawa di begitu banyak negara-negara Islam di seluruh dunia umat Islam tidak dapat melakukan perintah-perintah Allah kerana berada dalam keadaan yang sangat mundur, daif, miskin dan tertekan. Di beberapa buah negara-negara Islam di benua Afrika umat Islam berada dalam keadaan yang amat menyedihkan, tertinggal jauh di dalam semua bidang – pelajaran, ekonomi, kebajikan, sosial, teknologi, perdaganagn, perladangan, penternakan dan berbagai-bagai lagi. Di negara-negara Islam selainnya pula umpamanya di Timur Tengah, Pakistan, Afganistan dan lain-lain lagi umat Islam ditindas dengan kejam, berbunuhan sesama sendiri. Sungguh malang nasib umat Islam dinegara-negara ini.


Kita yang tinggal di negara yang dirahmati Allah ini mestilah sentiasa berusaha supaya perpaduan di kalangan orang-orang Melayu diperkukuhkan dan di eratkan. Sedarlah bahawa walaupun bangsa Melayu adalah majoriti di negara ini, namun kerana perbezaan politik kita berpecah belah sehingga merenggangkan dan merosakkan silaturrahim. Jika ini dibiarkan berterusan bilangan kita yang ramai tidak membawa apa-apa berkat. Sebaliknya kita akan mudah diadu dumbakan sehingga seluruh negara boleh menjadi porak-peranda dan syiar Islam menjadi tercemar.


Marilah kita semua umat Islam di negara ini mengukuhkan ukhwah Islamiah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada lain-lain kaum di negara ini. Islam itu akan kukuh dan kuat jika umatnya bersatu dan padu. Kaum-kaum lain di negara ini akan menghormati dan berasa segan kepada kita jika kita bijak mengatur langkah, supaya setiap langkah sederap, setiap langkah membawa tuah.


Saya berharap supaya kita semua bersama-sama berusaha menjernihkan yang keruh dan mengusaikan yang kusut dan memelihara sungguh-sungguh silaturrahim dikalangan kita umat Islam.


Renungkanlah peringatan dibawah ini:

Tuah kampung berjaga,

Tuah kelamin berketurunan,

Tuah dusun bermusim,

Tuah hidup berjasa.


Bersama-samalah kita semua bersungguh-sungguh berjasa kepada bangsa, agama dan negara.


Semoga hidup kita dibekati Allah S.W.T dan diberikanNya kepada kita semua kejayaan di dunia dan di akhirat. Salam Ramadhan.

1 comment:

Anonymous said...

nak jernihkan camne kalau dah ada anak murid ayah pin kat kelantan dok gila kuasa nak jadi MB klantan sampai matik